Pages

17.9.11

UNIT 3 ISU-ISU MORAL SEMASA (REMAJA )



UNIT 3

 ISU-ISU MORAL SEMASA  
(REMAJA )

OBJEKTIF AM


Mengetahui isu-isu moral semasa yang membabitkan golongan remaja dan mencadangkan langkah-langkah penyelesaiannya


3

OBJEKTIF KHUSUS


Di akhir unit anda dapat :
  1. menyatakan jenis-jenis isu-isu moral yang melibatkan golongan remaja
  2. mengenalpasti faktor-faktor pendorong kepada terjadinya gejala-gejala tersebut
  3. mencadangkan penyelesaian-penyelesaian yang praktikal terhadap isu-isu tersebut



ISU-ISU MORAL SEMASA ( REMAJA )

INPUT
                                   
PENGENALAN
                           

Menurut Kamus Dewan, perkataan “ isu ”  bermaksud perkara pokok dan persoalan, manakala Moral pula bermaksud ajaran atau pegangan berkaitan buruk baik sesuatu perbuatan . Remaja pula secara umumnya ialah golongan yang berusia antara 13 hingga 18 tahun, manakala usia antara 19 hingga 21 tahun dianggap sebagai akhir alam remaja. Oleh itu, secara umumnnya isu-isu moral remaja  ialah segala persoalan dan tingkahlaku remaja yang dianggap menyalahi dan bertentangan dengan nilai-nilai dan pegangan moral.
Alam remaja merupakan satu tahap kritikal dalam kehidupan manusia, iaitu tempoh peralihan daripada alam kanak-kanak kepada alam dewasa. Pada peringkat inilah seseorang mula bertindakbalas kepada tuntutan emosi untuk mencari identiti dan penampilan tersendiri. Ahli psikologi mengistilahkan alam remaja sebagai ‘umur emosi’ (emotional age ) kerana di peringkat mencari identiti , mereka sering berhadapan dengan konflik diri di mana wujud dua pertembungan iaitu antara sifat kanak-kanak dan keinginan serta kebimbangan untuk menempuhi alam dewasa. Tetapi kini, remaja telah terlalu jauh meninggalkan batas keperibadiannya serta melupakan nilai-nilai etika dan moral yang sepatutnya tersemai di dalam diri mereka.
Dewasa ini, keruntuhan moral dan akhlak remaja berada pada tahap yang agak membimbangkan. Oleh itu timbul persoalan di sini, adakah nilai-nilai murni yang disemai dan dipelihara sudah lusuh rentetan daripada pemodenan mental dan kebendaan. Apakah mereka tidak mampu untuk mengadaptasikannya dengan perubahan budaya barat ( westernization ) yang pesat melanda negara kita ?


3.1 KATEGORI ISU-ISU MORAL REMAJA

Keruntuhan akhlak dan etika remaja pada masa kini seolah-olah satu refleksi sebenar tingkahlaku remaja. Tindak-tanduk mereka yang agak liar , ganas memberi gambaran seolah-olah wujud satu penentangan untuk mengenepikan nilai dan norma generasi tua. Banyak kejadian dan kes yang melibatkan remaja berlaku dan banyak mendapat liputan meluas daripada pihak media.
Secara umumnya kita boleh membahagikan kes-kes salah laku remaja kepada dua
bahagian iaitu :

3.1.1. Kes-kes Seksualiti, Lucah dan Pergaulan Bebas
BOHSIA/
BOHJ MAHRAMAN

SUMBANG MAHRAM

GRO
BERSEKEDUDUKAN
ROGOL
KES-KES SEKSUALITI, LUCAH  PERGAULAN BEBAS
LIWAT
SEKS  RAMBANG/ ZINA


3.1.2 Kes-kes Yang Berpunca Dari Sikap dan Tingkahlaku

DADAH

GANGSTERISME

PENDERAAN
LARI DARI RUMAH
GEJALA LEPAK
VANDALISME
KES-KES SIKAP DAN TINGKAHLAKU
SAMSENG
JALANAN
LUMBA
HARAM



Tahukah anda faktor-faktor yang mendorong para remaja terjebak dalam kes-kes salahlaku tersebut? Inilah punca-puncanya …...
                           

                       

3.2. FAKTOR-FAKTOR KERUNTUHAN AKHLAK /MORAL REMAJA

Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan berlakunya fenomena keruntuhan akhlak dan moral di kalangan remaja . Antaranya ialah :

  1. Kurangnya asuhan dan didikan agama oleh keluarga.
Ibu bapa adalah model kepada anak-anak dalam apa jua aspek kehidupan tetapi dalam soal keagamaan ianya seolah-olah diabaikan. Justeru itu, akan lahirlah generasi baru yang bertindak liar dan bersikap materialistik dan ala kebaratan.
  1. Pengaruh suasana dan persekitaran yang mendesak
Kebanyakan remaja yang tinggal di bandar mengamalkan kehidupan individualistik  dan materialistik. Oleh itu, dalam mengejar kemewahan mereka sanggup berbuat apa sahaja tanpa menghiraukan baik buruknya sesuatu perkara itu. Akibatnya, terjadilah kejadian mencuri, melacur, samun dan peras ugut untuk mendapatkan wang yang tidak mereka perolehi daripada ibu bapa mereka.
  1. Tekanan perasaan yang dialami remaja
Sesetengah remaja mengalami tekanan perasaan ketika di rumah akibat perceraian atau pergaduhan ibu bapa yang menyebabkan anak-anak merasa tidak selesa berada di rumah dan membuatkan mereka lebih suka berada di luar rumah dan bergaul dengan kawan-kawan tanpa menimbang baik buruknya.
  1. Gagal dalam pelajaran
Remaja yang terkandas dalam pelajaran mempunyai masa lapang yang banyak. Oleh itu, mereka bergaul dengan rakan-rakan yang juga tidak bersekolah, dan bermula dari situlah mereka berkenalan dengan dadah, pil ecstasy, pusat-pusat hiburan dan lumba haram serta berjudi. Kegiatan tersebut memerlukan wang yang akan mendorong mereka melakukan kegiatan haram seperti mencuri samun, merompak dan menculik.
  1. Peranan Media Massa
Remaja merupakan golongan yang mudah  dipengaruhi, contohnya melalui filem-filem yang ditayangkan di televisyen. Mempunyai pengaruh yang amat besar kepada mereka. Filem dan drama yang dihasilkan mengikut filem Barat menggambarkan seolah-olah kehidupan rakyat negara ini dengan masyarakat Barat mempunyai persamaan. Ini menyebabkan remaja mudah terpengaruh kerana beranggapan bahawa gaya hidup remaja Barat yang lebih menjerumus kepada perlakuan liar dan tidak menghormati orang tua adalah tidak salah dari segi agama dan budaya Malaysia.
  1. Perkembangan teknologi moden
Perkembangan teknologi moden seperti komputer, internet, e.mail dan video juga memudahkan remaja mendapat hiburan yang tidak sesuai dengan jiwa mereka. Mereka boleh memperolehi maklumat berhubung bahan-bahan lucah melalui internet, cakera padat dan video yang tidak ditapis di pasaran gelap atau melalui rakan-rakan.
Di sini ada beberapa cadangan yang boleh difikirkan untuk mengatasi permasalahan ini……….
                   


3.3. CADANGAN-CADANGAN UNTUK MENGATASI GEJALA KERUNTUHAN AKHLAK/ MORAL REMAJA

Di dalam menangani permasalahan remaja ini, adalah tidak wajar untuk kita menyalahkan mana-mana pihak secara total. Oleh yang demikian, seluruh masyarakat tidak kira sesiapa pun haruslah memainkan peranan dalam memastikan remaja masa kini memiliki nilai moral yang terpuji, bertanggungjawab dan  berdedikasi. Secara ringkasnya adalah dicadangkan pihak-pihak berikut memainkan peranannya :

1. Peranan Ibubapa                       

Zaman remaja adalah zaman yang penuh pancaroba. Maka, ibubapa seharusnya memahami keadaan ini dan menyesuaikan diri dengan pengaruh emosi anak-anak mereka. Mereka haruslah membina hubungan yang mesra dengan  anak-anak untuk melahirkan sebuah keluarga bahagia yang akan membentuk masyarakat penyayang seperti yang dihasratkan dalam Wawasan 2020. Ibu bapa juga perlu menjadi model kepada anak-anak mereka. Didikan agama dan duniawi yang seimbang boleh menjadi pedoman dalam hidup mereka agar mereka dapat menilai baik buruk sesuatu perkara yang akan mereka lakukan.


2. Peranan Guru

                               
Guru ialah orang kedua yang paling hampir dengan remaja. Mereka hendaklah menekankan nilai-nilai murni dalam pengajaran supaya pelajar-pelajar dapat diasuh dan dibimbing ke arah keperibadian tinggi dan mempunyai sifat-sifat mulia.

3. Peranan Masyarakat

                               
Setiap ahli masyarakat mempunyai tanggungjawab untuk membanteras masalah sosial yang berlaku. Masyarakat yang bertindak sebagai pemerhati harus peka dalam memberikan nasihat yang sepatutnya kepada remaja kita yang bertindak liar. Sikap individualistik yang ada pada diri kita perlulah dikikis , dan sikap penyayang perlu ditanamkan dalam diri setiap anggota masyarakat.


4. Peranan Media Massa                       

                               
Pihak media perlu memainkan perannya baik media cetak ataupun elektronik . Akhbar dan majalah hendaklah memperbanyakkan bahan-bahan yang lebih bercorak ilmiah. Begitu juga dengan televisyen hendaklah lebih banyak menayangkan filem-filem yang boleh merangsang pembinaan insan yang baik.




5. Peranan remaja sendiri

                                   

Remaja perlu mengubah pandangan dan sikap mereka supaya lebih prihatin dan dapat menyesuaikan diri dengan nilai dan norma yang ditetapkan oleh agama. Kebebasan tetap ada tetapi harus pandai menyesuaikannya dengan nilai-nilai  dan norma-norma yang baik.

    Kesimpulannya, kekacauan dan masalah yang berlaku dalam masyarakat dan negara pada hari ini boleh dikatakan berada pada tahap yang agak membimbangkan kerana apa yang telah kita dapat lihat di sini , jenayah etika begitu berleluasa berlaku. Manusia sudah mula melupakan batas-batas agamanya dan mewah di adalam mengejar keseronokan duniawi. Nilai-nilai etika yang sepatutnya tersemat di dalam diri individu sudah terhakis. Oleh itu, sesebuah masyarakat iaitu hendaklah sama-sama berganding bahu membanteras gejala-gejala negatif daripada terus berlaku kerana keharmonian dan keamanan sesebuah negara bergantung kepada sikap dan situasi masyarakatnya.


Untuk menguji kefahaman anda, sila buat aktiviti berikut. Jika anda tidak berpuashati dengan jawapan anda, sila buat ulangkaji pada input yang anda rasa masih kabur.
SELAMAT MENCUBA !!!!!!!!!!!

AKTIVITI 3           

    1. Apakah yang dimaksudkan dengan isu-isu moral remaja ?
_____________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________
    1. Nyatakan pembahagian isu-isu moral remaja dengan disertakan contoh-
     contohnya .
    1. Pada pendapat anda apakah punca-punca berlakunya gejala-gejala tersebut.  
     Nyatakan secara ringkas.
          _______________________________________________________________
          _______________________________________________________________
          _______________________________________________________________
   
    3.4 Apakah yang dimaksudkan dengan emosional age menurut pakar psikologi ?
     _______________________________________________________________
          _______________________________________________________________
          _______________________________________________________________





3. 5  Bagaimanakah pihak media dapat berperanan dalam menghadapi isu gejala
      keruntuhan akhlak remaja masa kini ?
     _______________________________________________________________
          _______________________________________________________________
          _______________________________________________________________

          



Bolehkah anda menjawab soalan-soalan tadi…..Mari kita semak jawapannya..

MAKLUMBALAS AKTIVITI 3
    1. Pengertian isu-isu moral remaja :
Menurut Kamus Dewan, perkataan “ isu ”  bermaksud perkara pokok dan persoalan, manakala Moral pula bermaksud ajaran atau pegangan berkaitan buruk baik sesuatu perbuatan . Remaja pula secara umumnya ialah golongan yang berusia antara 13 hingga 18 tahun, manakala usia antara 19 hingga 21 tahun dianggap sebagai akhir alam remaja. Oleh itu, secara umumnnya isu-isu moral remaja  ialah segala persoalan dan tingkahlaku remaja yang dianggap menyalahi dan bertentangan dengan nilai-nilai dan pegangan moral.

    1. Pembahagian isu-isu moral remaja dan contohnya :
  1. Kes-kes Seksualiti, Lucah dan Pergaulan Bebas – zina, rogol, liwat dan lain-lain
  2. Kes-kes Sikap dan Tingkahlaku – dadah, lari dari rumah, lumba haram dan lain-lain.

    1. Punca-punca berlaku gejala keruntuhan akhlak :
  1. Kurangnya asuhan dan didikan agama oleh keluarga
  2. Tekanan perasaan yang dialami remaja
  3. Pengaruh suasana dan persekitaran yang mendesak
  4. Perkembangan teknologi moden

3.4 Maksud emosional age ialah peringkat remaja mencari identiti , mereka sering berhadapan dengan konflik diri di mana wujud dua pertembungan iaitu antara sifat kanak-kanak dan keinginan serta kebimbangan untuk menempuhi alam dewasa.

3.5 Pihak media perlu memainkan perannya baik media cetak ataupun elektronik . Akhbar dan majalah hendaklah memperbanyakkan bahan-bahan yang lebih bercorak ilmiah. Begitu juga dengan televisyen hendaklah lebih banyak menayangkan filem-filem yang boleh merangsang pembinaan insan yang baik.



                PENILAIAN KENDIRI



UNTUK MENGUKUR PRESTASI ANDA, ANDA MESTILAH MENJAWAB SEMUA SOALAN PENILAIAN KENDIRI INI UNTUK DINILAI OLEH PENSYARAH ANDA.


Soalan Satu

Anda dikehendaki berbincang dengan rakan anda tentang implikasi keruntuhan akhlak dan moral kepada keadaan sosial, politik,ekonomi dan negara kita.

Soalan Dua

Sejauhmanakah agama dapat menghalang seseorang daripada membuat perkara yang salah dan bertentangan dengan etika .

TAHNIAH!
Anda telah berjaya menyelesaikan semua soalan dalam penilaian kendiri.

Sila semak jawapan anda pada maklumbalas untuk memastikan jawapan anda adalah betul.


           
   MAKLUMBALAS KEPADA PENILAIAN KENDIRI

  1. Implikasi gejala keruntuhan moral dan akhlak kepada :
  1. Sosial

Remaja adalah generasi yang menjadi harapan untuk membangun dan mengharmonikan masyarakat pada masa akan datang. Tetapi malangnya apa yang telah kita lihat kini, kebanyakan remaja sudah tidak boleh mengawal diri mereka lagi dan ini merupakan satu ancaman kepada masyarakat. Sekiranya masalah ini tidak dibendung , maka lambat laun ia akan menyebabkan masyarakat menjadi huru-hara. Pergaulan bebas remaja juga memberi kesan buruk ke atas diri mereka sendiri. Apabila sudah terlampau bebas, mereka sudah tidak segan silu lagi untuk melakukan hubungan rambang dan perzinaan yang akhirnya akan mendatangkan musibah kepada diri mereka sendiri.
  1. Politik dan Negara
Keruntuhan moral remaja bukan sahaja mengancam kedudukan soaial, malahan ia juga memberi implikasi yang negatif kepada politik seterusnya negara kita sendiri. Remaja adalah aset negara yang penting, tetapi sayangnya di kala muda ini, mereka telah menunjukkan perlakuan yang tidak menyenangkan. Oleh itu, bagaimana sesebuah negara akan mencapai kemajuan ? Remaja juga bakal mewarisi teraju kepimpinan negara. Jika mereka mudah dipengaruhi gejala yang tidak sihat , bagaimana keadaan negara kita di masa hadapan ?

          3. Ekonomi                                            
Gejala sosial juga memberi kesan yang agak besar kepada kestabilan ekonomi    negara. Ini  memandangkan apabila masalah soaial berleluasa ,para pelabur dari luar merasa tidak selamat untuk melabur di negara ini. Ianya berkait rapat dengan keadaan sosial dan politik negara. Apabila negara mempunyai imej yang buruk di mata negara lain, maka ianya memberi kesan juga kepada penduduknya. Pelabur yang ingin mendapat keuntungan tidak akan mengambil risiko untuk melabur di negara yang bermasalah. Selain itu, pihak kerajaan juga terpaksa mengeluarkan belanja yang banyak untuk membasmi  dan juga berusaha untuk menyelesaikan kes-kes salahlaku seperti dadah, vandalisme dan sebagainya.        

   
2. Peranan agama dalam  
membentuk nilai-nilai murni :               
                               

Agama berasal dari bahasa Sanskrit yang bermakna tradisi. Ia boleh didefinisikan sebagai satu sistem kepercayaan dan ibadat berasaskan keyakinan kepada kewujudan tuhan yang telah mencipta alam semesta. Agama menekankan kepada pembentukan nilai-nilai murni dalam pengajarannya. Majoriti kes-kes keruntuhan moral dan akhlak berlaku kerana kurang penekanan terhadap pendidikan agama yang diberikan kepada anak-anak. Pendidikan agama perlulah diterapkan dalam diri anak-anak sejak kecil lagi seperti kata pepatah “ melentur buluh biarlah dari rebungnya “ bagi mengelakkan masalah yang lebih serius berlaku.




No comments:

Post a Comment