Pages

24.9.11

UNIT 11 PEMBAYARAN DAN PEMBIAYAAN PEMASARAN ANTARABANGSA

UNIT 11

PEMBAYARAN DAN PEMBIAYAAN PEMASARAN ANTARABANGSA


OBJEKTIF AM

Mengetahui dan memahami tentang keperluan pembiayaan dalam pemasaran antarabangsa, sumber-sumber pembiayaan eksport dan kaedah-kaedah pembayaran dalam perdagangan antarabangsa

OBJEKTIF KHUSUS
Di akhir unit ini anda sepatutnya dapat :

     Menyatakan keperluan pembiayaan dalam pemasaran antarabangsa

    Menyenaraikan dan menjelaskan sumber-sumber pembiayaan eksport

 Menjelaskan tentang kaedah-kaedah pembayaran yang digunakan dalam perdagangan antarabangsa



INPUT


                     
  1. PENGENALAN


Pemasaran dan kewangan terjalin begitu erat sekali dengan keseluruhan perancangan, matlamat dan objektif perbadanan; dasar dan keputusan dalam setiap satu daripadanya mempunyai kesan yang mendalam ke atas yang lain.  Tanpa sokongan kewangan yang sesuai, kegiatan pemasaran tidak boleh mencapai potensi akhirnya; dan tanpa aliran tunai serta untung yang mencukupi yang dihasilkan oleh kegiatan pemasaran, kemampuan perbadanan untuk mencapai pertumbuhan sepenuh serta potensi pembangunan adalah terhad.  Secara amnya dianggap bahawa pertimbangan kewangan adalah bidang utama pegawai kewangan, tetapi seperti yang boleh dibuktikan oleh mana-mana pemasar antarabangsa, urusan pegawai kewangan juga merupakan urusan pemasar.

    1. Keperluan Pembiayaan Dalam Pemasaran Antarabangsa

Jarak, selang masa, tarif, cukai, keperluan penyertaan kewangan, pembatasan pertukaran, nilai kewangan yang turun naik, dan kekukuhan kewangan tempatan yang tidak mencukupi semuanya adalah unsur yang membezakan masalah pembiayaan kegiatan pemasaran antarabangsa berbanding masalah yang berkaitan dengan pemasaran dalam negeri.  Pengurusan yang cekap ke atas fungsi kewangan dalam pemasaran boleh menjadi factor strategi yang memepengaruhi untung dan mempunyai kesan yang besar ke atas kemampuan syarikat untuk membangunkan saluran pemasaran.

Selang masa disebabkan oleh jarak dan penyeberangan sempadan antarabangsa menambah unsur kos kepada pemasaran antarabangsa yang menjadikan perancangan aliran tunai amat penting.  Malah dalam urusniaga yang secara relatifnya mudah, wang boleh terikat selama berbulan-bulan ketika barang dihantar dari satu bahagian di dunia ke bahagian yang lain; pelepasan kastam mungkin menambah beberapa hari, minggu atau bulan; pembayaran mungkin akan tersekat sementara dokumen pembayaran antarabangsa sedang dipindahkan dari sebuah negara ke negara yang lain; dan barang yang pecah, pertelingkahan perdagangan, atau pembatasan kerajaan boleh menambah kelewatan seterusnya.


11.1.1  Keperluan modal kerja

Disebabkan oleh lat masa, kos penghantaran, duti, kos permulaan yang lebih tinggi, kos inventori, kos penyusupan pasaran, dan pertambahan keperluan kewangan untuk kredit saluran dan perdagangan, pengendalian di luar negeri biasanya memerlukan amaun modal kerja yang lebih besar daripada yang diperlukan oleh kegiatan dalam negeri yang dikendalikan pada tingkat volum yang sama.

a)        Kos permulaan

Amaun modal kerja yang lebih banyak sering diperlukan untuk menutup kos permulaan sebuah syarikat yang memasuki pasaran antarabangsa yang baru.  Kos seperti ini boleh memeranjatkan firma yang sudah biasa dengan pengendalian dalam pasaran dalam negeri yang tidak asing lagi baginya.  Sebuah firma mungkin mendapati bahawa ia mesti membayar untuk maklumat yang digunakan atau diperolehi tanpa kos dalam negara sendiri.  Juga sebahagian daripada kos permulaan ialah undang-undang, penubuhan pejabat, pembelian lesen, dan seterusnya.  Penyelidikan pemasaran boleh menjadi perbelanjaan yang besar, terutamanya jika syarikat terpaksa menyelidiki tiga atau empat buah negara sebelum memulakan perusahaan perniagaan dalam mana-mana satu daripada negara tersebut.

b)         Inventori

Keberkesanan pemasar dalam mengendalikan inventori boleh mempunyai kesan yang agak besar ke atas keperluan kewangan fungsi ini.  Perkhidmatan yang mencukupi untuk pasaran asing sering mengkehendaki barangan diinventorikan di beberapa letakan.  Pengangkutan yang lebih lambat dan jarak yang lebih jauh apabila menghantar melalui air bermakna bahawa pusing ganti inventori boleh memakan masa yang lebih lama dari masa yang biasanya diperlukan untuk pengendalian dalam negeri.  Masa tambahan yang diperlukan untuk penyerahan menambah keperluan modal yang diperlukan untuk membiayai inventori.

Sejenis keperluan pembiayaan inventori yang keseluruhannya baru kadang-kadang dikenakan ke atas pemasar secara menipu apabila pemasar tersebut dipaksa menerima barang perdagangan balas untuk menyempurnakan urusniaganya dengan negara yang menghadapi kekurangan mata wang atau apabila pemasar itu dipaksa membeli balik barang sebagai sebahagian daripada rumpun pembiayaan untuk kelengkapan modal.  Kecuali jika barang yang berkenaan dapat dijual dengan mudah, syarikat mungkin mendapati dirinya menanggung barang tersebut untuk tempoh masa yang lama sebelum pasaran untuknya dapat dicari.

  1. Kos Penembusan Pasaran

Terdapat berbagai-bagai jenis kos yang dikaitkan dengan penembusan pasaran.  Kos promosi dan pengiklanan adalah serupa dalam pasaran dalam negeri dan dalam pasaran asing kecuali ia biasanya lebih tinggi berbanding dengan jualan sebenar.  Pengilang barang tahan lama mendapati bahawa mereka mesti sering menyediakan dana untuk kemudahan perkhidmatan sebelum keluaran mereka diterima.  Dalam hal yang berkaitan dengan saluran agihan pula, pengagihan antarabangsa yang rumit memerlukan pelaburan saluran yang lebih besar.  Orang tengah asing jarang dibiayai dengan secukupnya dan mungkin mereka memerlukan kredit jangkapanjang yang ekstensif jika mereka dikehendaki menyimpan inventori yang mencukupi dan menawarkan kredit yang mencukupi kepada pelanggan mereka.

Kredit sedang menjadi sama penting kepada jualan eksport seperti harga sesuatu keluaran.  Syarat kredit dan pembayaran telah menjadi senjata utama persaingan antarabangsa dalam pasaran sejagat.

      1. Pelaburan Modal

Terdapat keperluan pelaburan modal untuk kemudahan pemasaran seperti gudang, dok perkapalan, kedai runcit dan pejabat jualan; kesemuanya memerlukan pelaburan modal yang banyak untuk kemudahan fizikal.  Dalam mempertimbangkan implikasi kewangan, kos kemudahan pengeluaran serta kos kemudahan pemasaran boleh secara lojik dikaitkan dengan pemasaran sebagai kos masukan pasaran.  Persoalan kewangan yang penting yang dihadapi oleh pemasar antarabangsa ialah ketersediaan dan sumber modal untuk membiayai modal kerja tambahan yang diperlukan.  Selain sumber syarikat itu sendiri, berbagai-bagai jenis dana awam juga tersedia.



Ujikan kefahaman anda sebelum meneruskan input selanjutnya…!!!.  
Sila semak jawapan anda pada ruangan maklum balas yang disediakan.




AKTIVITI 11A               


Pada pendapat anda, kenapakah keperluan pembiayaan penting kepada pemasaran antarabangsa ?



























INPUT




11.2     SUMBER-SUMBER PEMBIAYAAN EKSPORT


11.2.1  Bank Perdagangan dan Bank Saudagar

Bank perdagangan terlibat dalam perdagangan antarabangsa melalui pengeluaran surat kredit dan mendiskaunkan bil pertukaran.  Pengimport yang ingin mengimport barang-barangnya ke luar negara boleh meminta banknya menulis satu surat kredit yang akan menjamin kebolehan membayar pengimport.  Surat kredit itu akan dihantar kepada pengeksport.
Apabila pengeksport menerima surat kredit, bank pengeksport akan menghantar bil pertukaran kepada pengimport yang menunjukkan jumlah bayaran yang perlu dibuat kepada pengeksport pada satu tarikh yang ditetapkan pada masa depan.

Pada tarikh yang ditetapkan itu, pengeksport akan menerima satu jumlah bayaran yang dinyatakan dalam bil pertukaran itu.  Jika pengeksport ingin mendapatkan bayaran lebih awal, pengeksport boleh menjual bil pertukaran kepada banknya pada satu kadar diskaun.  Ini adalah disebut sebagai mendiskaunkan bil pertukaran.  Pengeksport akan menerima satu jumlah bayaran yang lebih kurang daripada jumlah yang dinyatakan dalam bil pertukaran.

Bank saudagar pula menyediakan perkhidmatan kepada institusi perniagaan yang besar  sahaja.  Bank saudagar membantu pemasar antarabangsa dalam membiayai projek pelaburan , membekalkan perkhidmatan nasihat berkenaan dengan pergabungan, pengambilalihan, pembentukan semula atau penyusunan semula modal syarikat.  Bank saudagar akan membantu pelanggannya untuk mencari syarikat-syarikat yang sesuai untuk tujuan pergabungan atau pengambilalihan syarikat.  Bank saudagar akan memberi nasihat dan sokongan kepada pelanggan-pelanggannya berkenaan dengan strategi dan hal-hal kewangan. Selain daripada itu, bank saudagar juga menguruskan hal-hal dokumentasi yang perlu.

Bank saudagar juga bertindak sebagai pengurus kepada dana-dana pelanggan di mana dana ini akan dilaburkan dalam syer, aset, institusi kewangan dan sebagainya.


11.2.2  Rumah Pendiskaunan

Rumah pendiskaunan ialah satu kemudahan yang bank sediakan kepada pengeksport yang menjual barangannya secara kredit.  Bank akan memberikan kredit serta-merta kepada pengeksport ini sebelum hasil daripada bil pertukaran dipungut dan diterima.  Tempoh kredit akan bergantung kepada tempoh penerimaan bil pertukaran.

Pengeksport, selepas penghantaran barangan akan menyerahkan bil pertukaran beserta dokuman lain kepada banknya untuk penerimaan oleh pengimport.  Apabila pengimport menerima bil ini, ia menjadi bolehniaga dan pengeksport boleh mendapatkan tunai dengan mendiskaunkan bil ini dengan banknya.  Pengeksport tidak perlu menunggu sehingga bil ini matang.  Bank akan membayar nilai bil ini selepas ditolak caj diskaun.  Apabila sampai tempoh matang, bank akan menyerahkan bil ini kepada pengimport untuk pembayaran dan hasilnya digunakan untuk membayar balik pendahuluan yang diberikan kepada pengeksport.  Walaubagaimanapun, bank masih mempunyai hak tuntutan terhadap pengeksport sekiranya pengimport gagal membayar apabila bil ini sampai tempohnya.


11.2.3  Pemfaktoran

Pemfaktoran ialah satu kemudahan pembelian hutang atau akaun belum terima oleh institusi kewangan ( dipanggil pemfaktor ) daripada pelanggannya ( dipanggil klien ) serta penyediaan perkhidmatan tertentu selain pendahuluan wang sebelum hutang-hutang dipungut.  Kemudahan ini disediakan kepada peniaga yang ingin memperbaiki aliran tunai mereka dan mengurangkan perbelanjaan serta kerumitan dalam pengendalian dan pengawalan akaun-akaun jualan mereka.

Proses pemfaktoran melibatkan hutang perniagaan klien dengan para pelanggannya.  Klien membekalkan barangan atau perkhidmatan secara kredit kepada pelanggannya, dan akan menyerahkan bil-bil hutang ini kepada pemfaktor.  Pemfaktor kemudiannya akan mendahulukan wang tunai sehingga 80 peratus daripada nilai bil-bil hutang kepada klien ini dan seterusnya memaklumkan kepada semua pelanggan yang terlibat supaya membuat pembayaran terus kepadanya dan bukan kepada klien lagi.  Pemfaktor juga akan menghantar penyata bulanan serta notis-notis peringatan meminta para pelanggan membayar hutang pada tempohnya.  Apabila semua hutang telah dikutip, pemfaktor akan mengembalikan baki hutang sebanyak 20 peratus lagi kepada klien selepas ditolak faedah dan caj perkhidmatan yang dikenakan.

11.2.4  Kerajaan dan agensi-agensinya

Kerajaan juga  memberi pelbagai jenis bantuan, dorongan dan galakan kepada pengeksport untuk menambahkan hasil pendapatan negara, membaiki imbangan pembayaran dan meningkatkan taraf hidup.

Diantara bantuan-bantuan yang diberikan ialah  :
  • Memberi potongan cukai pendapatan kepada industri yang terlibat di dalam pengeksportan
  • Memberikan elaun eksport kepada firma perdagangan yang menjalankan perdagangan eksport barang kilang dan hasil pertanian.
  • Memberi potongan ke atas cukai pendapatan kerana menjayakan promosi eksport
  • Memberi bantuan jaminan kredit eksport bagi melindungi pengeksport terhadap risiko hutang lapuk oleh pembeli luar negara yang biasanya tidak boleh diinsuranskan oleh syarikat-syarikat swasta.
  • Memberikan insentif eksport melalui akta-akta cukai seperti Akta Cukai Kastam 1967 dan Akta Cukai Eksais.  Akta Cukai Kastam 1967 membolehkan kilang menuntut duti import yang dibayar ke atas barang yang kemudiannya boleh dieksport semula.  Manakala Akta Cukai Eksais pula mengecualikan pembayaran cukai eksais bagi barang yang dikenakan cukai.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri


Kementerian ini bertanggungjawab di dalam merancang strategi dan mengkoordinasikan kegiatannya dalam mengenalpasti peluang pemasaran, menjalankan penyelidikan pemasaran dan juga menghubungkan pengeksport dengan bakal pembeli.

Kementerian ini juga menyediakan persetujuan perdagangan dua hala supaya peluang pengeksportan dapat dipertingkatkan disamping memperkenalkan skim “General System Of Preferences” ( GSP ) iaitu tarif istimewa yang diberikan oleh negara maju kepada negara yang sedang membangun.

Kementerian juga menjalankan fungsi-fungsi yang berkaitan dengan perkembangan kerjasama ekonomi dengan negara-negara lain melalui pertubuhan ASEAN dan EEC bagi membantu pengeksport meningkatkan nilai dagangan mereka.  Kementerian juga membantu pengeksport merancang dan melaksanakan pameran perdagangan antarabangsa bagi keluaran tempatan di luar negara.  Ia juga menguruskan penyertaan negara di dalam pameran perdagangan antarabangsa.

Pusat Perdagangan Eksport Malaysia ( MATRADE )

Pusat ini membantu pengeksport mengenali pasaran antarabangsa dengan lebih mendalam dan mengetahui pengimport yang berminat untuk membeli barangan tempatan.  Ia juga menyediakan nama dan alamat bakal pembeli di luar negara dan menyediakan ruang pameran barangan tempatan di pejabat perdagangan bagi menarik minat pembeli luar negeri.

Di samping itu, pusat ini juga merancang dan menjalankan seminar-seminar perdagangan antarabangsa untuk menerangkan peluang-peluang pemasaran serta menerbitkan majalah, risalah, bahan rujukan atau brosur tentang penyelidikan barangan dan pasaran.


Ujikan kefahaman anda sebelum meneruskan input selanjutnya…!!!.  
Sila semak jawapan anda pada ruangan maklum balas yang disediakan.





AKTIVITI 11B       


Apa yang anda faham tentang  :
  1. Rumah pendiskaunan
  2. Pemfaktoran




















INPUT




11.3 KAEDAH-KAEDAH PEMBAYARAN YANG DIGUNAKAN DALAM PERDAGANGAN ANTARABANGSA

11.3.1  Pendahuluan tunai

Kaedah ini memerlukan pengimport membuat pembayaran terlebih dahulu kepada pengeksport.  Pengeksport hanya akan menyerah atau menghantar barangan yang dipesan setelah wang pendahuluan dibayar.  Kaedah ini tidak disukai oleh pengimport kerana mereka akan menanggung risiko kerana terpaksa mendahulukan pembayaran dan memastikan pengeksport menghantar dan menyerahkan barang-barang sepertimana yang telah dipersetujui.  Kaedah ini biasanya digunakan apabila kredit adalah diragukan,terdapat pembatasan pertukaran di dalam negara destinasi ataupun atas sebab-sebab tertentu, pengeksport Amerika Syarikat tidak sanggup menjual secara kredit.

11.3.2  Surat berdokumen

Surat berdokumen atau juga dikenali sebagai surat kredit adalah instrumen pembayaran yang paling diterima penggunaannya dalam urusniaga antarabangsa kerana ia menyediakan perlindungan kepada kedua-dua pengeksport dan pengimport.  Pembayaran di bawah surat kredit ini dijamin oleh bank.

Surat berdokumen ini adalah satu jaminan bertulis yang diberikan oleh bank kepada pengeksport  di mana bank berjanji yang pengeksport akan membayar sepenuhnya bagi penghantaran barangan kepada pengimport mengikut syarat-syarat dan peraturan yang ditetapkan dalam kredit ini.  Surat berdokumen ini hanya dikeluarkan oleh bank bagi pihak pelanggannya iaitu pengimport.

Dalam proses ini, pengimport akan membuat permohonan kepada banknya untuk menerbitkan atau mengeluarkan satu surat kredit, yang kemudiannya dihantar kepada bank pemaklum.  Bank pemaklum pula akan menyerahkan surat kredit ini kepada benefisiari atau pengeksport.  Barang-barang hanya akan dihantar kepada pengimport selepas penerimaan surat kredit ini oleh pengeksport.  Disamping itu, pengeksport juga akan menyerahkan bil pertukaran bersama-sama dokumen lain kepada bank perunding urus ( yang juga bank pemaklum ) untuk mendapatkan pembayaran.

Jika bil-bil dokumen ini menepati syarat-syarat dan peraturan-peraturan dalam surat kredit, bank perunding urus akan mendahulukan pembayaran kepada pengeksport, dan menghantar pula dokumen berkenaan kepada bank penerbit ( bank pembayar ) untuk mendapatkan kembali pembayaran yang telah didahulukan kepada pengeksport tadi.  Apabila pengimport menjelaskan pembayaran bil, dokumen-dokumen akan diserahkan kepada pengimport oleh bank pembayar untuk membolehkannya mengambil barang-barang daripada syarikat perkapalan di pelabuhan.

Surat kredit boleh berbentuk boleh dimansuh atau tidak boleh dimansuh.  Surat kredit yang tidak boleh dimansuh merupakan satu jaminan oleh bank penerbit untuk menerima dan membayar bil yang dikeluarkan mengikut syarat-syaratnya.  Jaminan ini tidak boleh diubah atau dibatalkan tanpa persetujuan semua pihak.

Surat kredit boleh mansuh pula boleh diubah atau dibatalkan pada bila-bila masa tanpa persetujuan benefisiari terlebih dahulu.  Pengeksport akan menanggung risiko yang tinggi sekiranya surat kredit ini dibatal atau diubahsuaikan mengikut keadaan yang tidak menguntungkannya, dan ia mungkin menghadapi kesukaran mendapatkan pembayaran terus daripada pengimport.

11.3.3  Bil pertukaran

Bil pertukaran ialah instrumen paling umum digunakan untuk mendapatkan pembayaran daripada pengimport.  Pengeksport yang menghantar barangan akan menyediakan bil pertukaran ini bertujuan untuk mendapatkan pembayaran daripada pengimport dalam tempoh yang ditetapkan.  Dengan kata lain, ia adalah dokumen yang disediakan dan ditandatangani oleh pengeksport dan ditujukan kepada pengimport,  bagi meminta pengimport membayar sejumlah wang atas perintah atau pada masa hadapan yang dtentukan kepada pengeksport.

Terdapat tiga pihak dalam bil pertukaran ini.  Pengeksport yang menyediakan bil dan memberi perintah dipanggil penyuruhbayar dan pengimport yang perintah ini ditujukan dipanggil pesuruhbayar.  Manakala pihak yang akan menerima pembayaran atau benefisiari dikenali sebagai penerima.  Kebiasaannya penerima ialah bank yang bertindak bagi
pihak pengeksport.

11.3.4  Akaun Terbuka

Akaun terbuka ialah satu perjanjian di antara pengimport dengan pengeksport, di mana pengeksport akan terlebih dahulu menghantar barangan yang dipesan oleh pengimport, dan pengimport pula bersetuju menangguhkan pembayarannya ke suatu masa yang ditetapkan.  Dokumen perdagangan dan perkapalan dihantar terus kepada pengimport dan ia membolehkan pengimport memiliki barangan ini dan menjual atau menggunakan mengikut kehendaknya.  Apabila sampai tempoh, pengimport akan membuat pembayaran menerusi banknya sama ada melalui cek, draf, pindahan telegraf atau SWIFT ( Pertubuhan Telekomunikasi Kewangan Antara Bank Seluruh Dunia ).

Di bawah kaedah ini, pengeksport akan menanggung risiko yang kemungkinan pengimport akan membayar kesemuanya dalam masa yang ditetapkan.  Oleh itu kemudahan ini hanya boleh disediakan oleh pengeksport kepada pengimport yang sudah lama mempunyai hubungan perniagaan dengannya serta mempunyai tahap kepercayaan dan reputasi yang baik.

11.3.5  Konsainan

Di bawah kaedah ini, penghantaran barangan dipersetujui melalui satu perjanjian di mana pembayaran hanya boleh dibuat selepas barangan ini dijual dalam suatu tempoh yang ditetapkan.  Sekiranya barangan ini tidak dapat dijual, ia akan dikembalikan kepada pengeksport tanpa sebarang bayaran.  Kaedah pembayaran ini banyak memberikan risiko kepada pengeksport, dan hanya disediakan kepada pengimport yang berpengalaman luas dan betul-betul boleh dipercayai.















Ujikan kefahaman anda sebelum meneruskan input selanjutnya…!!!.  
Sila semak jawapan anda pada ruangan maklum balas yang disediakan.




AKTIVITI 11C


Jika anda adalah seorang pemasar antarabangsa, kaedah pembayaran yang manakah yang anda akan gunakan apabila berurusan dengan rakan niaga anda dan jelaskan sebab pemilihan kaedah tersebut































PENILAIAN KENDIRI






Anda telah menghampiri kejayaan.  Sila cuba semua soalan dalam penilaian kendiri ini dan semak jawapan anda pada maklum balas yang disediakan.

Jika ada sebarang masalah yang timbul, sila berbincang dengan pensyarah anda.  

Selamat mencuba semoga berjaya !!!!!


SOALAN 11-1


Huraikan secara ringkas tentang bagaimanakah kos permulaan memerlukan pembiayaan apabila melibatkan diri di dalam pemasaran antarabangsa.



SOALAN 11-2


Nyatakan sumber-sumber pembiayaan eksport.



SOALAN 11-3


Terangkan secara ringkas tentang perkara-perkara berikut  :
  1. Pendahuluan tunai
  2. Surat berdokumen
  3. Bil pertukaran
  4. Akaun terbuka
  5. Konsainan






MAKLUM BALAS
AKTIVITI





Adakah anda telah mencuba dahulu ?  Jika “YA”, sila semak jawapan anda.


AKTIVITI 11A


Pembiayaan penting kepada pemasaran antarabangsa adalah untuk  :
  1. Keperluan modal kerja
  2. Pelaburan modal



Keperluan Modal Kerja

Keperluan Modal Kerja diperlukan kerana lat masa, kos penghantaran, duti, kos permulaan yang lebih tinggi, kos inventori, kos penyusupan pasaran, dan pertambahan keperluan kewangan untuk kredit saluran dan perdagangan. Pengendalian di luar negeri biasanya memrlukan amaun modal kerja yang lebih besar daripada yang diperlukan oleh kegiatan dalam negeri yang dikendalikan pada tingkat volum yang sama.

Kos permulaan

Kos permulaan adalah tinggi bagi firma yang memasuki pasaran yang baru. Antara kos yang terlibat ialah undang-undang, penubuhan pejabat, pembelian lessen dan kos penyelidikan pemasaran untuk mendapatkan maklumat.

Inventori

Pusing ganti inventori memakan masa yang lama dalam pemasaran antarabangsa disebabkan proses penghantaran (terutama melalui air) dan proses penyerahan. Ini bererti barang-barang perlu diinventorikan di beberapa lokasi yang melibatkan kos.




Kos Penembusan Pasaran

Kos penembusan pasaran melibatkan kos promosi dan pengiklanan, kos mengendalikan kemudahan perkhidmatan untuk memastikan pasaran menerima produk, pemberian kredit jangka panjang yang ekstensif kepada orang tengah asing .


Pelaburan modal

Pelaburan modal diperlukan untuk kemudahan pemasaran seperti gudang, dok perkapalan, kedai runcit dan pejabat jualan.



AKTIVITI 11B



Rumah Pendiskaunan

Rumah pendiskaunan ialah satu kemudahan yang bank sediakan kepada pengeksport yang menjual barangannya secara kredit.  Bank akan memberikan kredit serta-merta kepada pengeksport ini sebelum hasil daripada bil pertukaran dipungut dan diterima.  Tempoh kredit akan bergantung kepada tempoh penerimaan bil pertukaran.



Pemfaktoran

Pemfaktoran ialah satu kemudahan pembelian hutang atau akaun belum trima oleh institusi kewangan ( dipanggil pemfaktor ) daripada pelanggannya ( dipanggil klien ) serta penyediaan perkhidmatan tertentu selain pendahuluan wang sebelum hutang-hutang dipungut.  Kemudahan ini disediakan kepada peniaga yang ingin memperbaiki aliran tunai mereka dan mengurangkan perbelanjaan serta kerumitan dalam pengendalian dan pengawalan akaun-akaun jualan mereka.




AKTIVITI 11C


Surat berdokumen

Surat berdokumen ialah kaedah yang akan digunakan dalam urusniaga antarabangsa kerana ia menyediakan perlindungan kepada kedua-dua pengeksport dan pengimport.  Surat berdokumen ini adalah satu jaminan bertulis yang diberikan oleh bank kepada pengeksport  di mana bank berjanji yng pengeksport akan membayara sepenuhnya bagi penghantaran barangan kepada pngimport mengikut syarat-syarat dan peraturan yang ditetapkan dalam kredit ini.  Surat berdokumen ini hanya dikeluarkan oleh bank bagi pihak pelanggannya iaitu pengimpoirt.

Jika bil-bil dan dokumen ini menepati syarata-syarat dan peraturn-peraturan dalam surat kredit, bank perunding urus akan mendahulukan pembayaran kepada pengeksport, dan menghantar pula dokumen berkenaan kepada bank penerbit ( bank pembayara ) untuk mendapatkan kembali pembayaran yang telah didahulukan kepada pengeksport tadi.  Apabila pengimport menjelaskan pembayaran bil, dokumen-dokumen akan diserahkn kepada pengimport oleh bank pembayar untuk membolehkannya mengambil barang-barang daripada syarikat perkapalan di pelabuhan.





































MAKLUM BALAS
PENILAIAN KENDIRI





Adakah anda telah mencuba dahulu ?  Jika “YA”, sila semak jawapan anda.


SOALAN 11-1


Kos permulaan

Kos permulaan adalah seperti kos-kos berkaitan undang-undang, penubuhan pejabat, pembelian lessen, mendapatkan maklumat mengenai pasaran luar negeri. Kos ini sangat tinggi menyebabkan amaun modal kerja yang tinggi. Oleh itu firma memerlukan pembayaran bagi menutup kos-kos permulaan.

SOALAN 11-2


Sumber-sumber pembiayaan eksport  :
  1. Bank perdagangan dan bank saudagar
  2. Rumah pendiskaunan
  3. Pemfaktoran
  4. Kerajaan dan agensi-agensi




SOALAN 11-3



i)  Pendahuluan tunai

Kaedah ini memerlukan pengimport membuat pembayaran terlebih dahulu kepada pengeksport.  Pengeksport hanya akan menyerah atau menghantar barangan yang dipesan setelah wang pendahuluan dibayar.  


ii)  Surat berdokumen

Surat berdokumen adalah instrumen pembayaran yang paling diterima penggunaannya dalam urusniaga antarabangsa kerana ia menyediakan perlindungan kepada kedua-dua pengeksport dan pengimport.  Pembayaran di bawah surat kredit ini dijamin oleh bank.

Surat berdokumen ini adalah satu jaminan bertulis yang diberikan oleh bank kepada pengeksport  di mana bank berjanji yang pengeksport akan membayar sepenuhnya bagi penghantaran barangan kepada pngimport mengikut syarat-syarat dan peraturan yang ditetapkan dalam kredit ini.  Surat berdokumen ini hanya dikeluarkan oleh bank bagi pihak pelanggannya iaitu pengimport.


iii)  Bil pertukaran

Bil pertukaran adalah dokumen yang disediakan dan ditandatangani oleh pengeksport dan ditujukan kepada pengimport, meminta pengimport membayar sejumlah wang atas perintah atau pada masa hadapan yang dtentukan kepada pengeksport.

Pengeksport yang menghantar barangan akan menyediakan bil pertukaran ini bertujuan untuk mendapatkan pembayaran daripada pengimport dalam tempoh yang ditetapkan.  

iv)  Akaun Terbuka

Akaun terbuka ialah satu perjanjian di antara pengimport dengan pengeksport, di mana pengeksport akan terlebih dahulu menghantar barangan yang dipesan oleh pengimport, dan pengimport pula bersetuju menangguhkan pembayarannya ke suatu masa yang ditetapkan.  Dokumen perdagangan dan perkapalan dihantar terus kepada pengimport dan ia membolehkan pengimport memiliki baranagan ini dan menjual atau menggunakan mengikut kehendaknya.  Apabila sampai tempoh, pengimport akan membuat pembayaran menerusi banknya sama ada melalui cek, draf, pindahan telegraf atau SWIFT ( Pertubuhan Telekomunikasi Kewangan Antara Bank Seluruh Dunia ).

v)  Konsainan

Di  bawah kaedah ini, penghantaran barangan dipersetujui melalui satu perjanjian di mana pembayaran hanya boleh dibuat selepas barangan ini dijual dalam suatu tempoh yang ditetapkan.  Sekiranya barangan ini tidak dapat dijual, ia akan dikembalikan kepada pengeksport tanpa sebarang bayaran. Pengeksport akan menanggung risiko yang lebih tinggi oleh itu ia hanya disediakan kepada pengimport yang berpengalaman luas dan dipercayai sahaja.